Oleh Syazwan Aizad. Sumber semuanyabola.com
Sekarang ini boleh dikatakan satu dunia sedang mengalami demam bola dek kerana EURO dan Copa America yang hangat berlansung.
Pelbagai taktikal perlawanan ditonjolkan oleh mana-mana pasukan bagi memastikan pasukan mereka menang perlawanan. Antara yang paling biasa adalah, taktikal formasi bertahan dan menyerang.
Namun, tahukah anda, selain taktikal formasi, terdapat satu lagi taktikal yang sering digunakan oleh pasukan bolasepak, khususnya daripada kelab-kelab, iaitu dengan mengubah kondisi dan saiz padang?
Untuk pengetahuan anda, amalan menukar kondisi, saiz dan dimensi padang bukanlah perkara asing dalam bola sepak Eropah, bertujuan untuk menyukarkan pasukan pelawat.
Mengikut undang-undang UEFA, pasukan tuan rumah boleh menukar kondisi, saiz dan dimensi padang selagi:
- Kondisi padang telah diperiksa dan diluluskan oleh jawatankuasa pertandingan UEFA dan pengadil perlawanan.
- Panjang rumput tak melebihi 30mm
- Dimensi padang 105m X 68m (minimum yang dibenarkan adalah 103.5m X 66.5m)
Berikut adalah 7 pasukan yang pernah mengubah padang untuk menyukarkan pasukan pelawat:
1) Bayern Munich (vs Atletico Madrid, separuh akhir kedua UEFA Champions League 2015/2016)
Taktikal: Memendekkan rumput dan membasahkan padang.
Selepas kalah 0-1 pada separuh akhir pertama di Vicente Calderon, David Alaba menyatakan bahawa padang kering adalah punca kepada kekalahan Bayern. Jadi, pada separuh akhir kedua, Pep Guardiola mengarahkan agar rumput dipendekkan dan padang dibasahkan bertujuan untuk melajukan pergerakan bola di atas lantai padang.
Permukaan padang dibasahkan seperti yang diminta Guardiola. Namun, hanya satu permukaan padang dibasahkan, iaitu permukaan padang yang bakal diserang Bayern pada separuh masa kedua.
Menariknya, Bayern menang 2-1 dalam perlawanan ini. Tetapi Atletico layak ke final atas peraturan gol tempat lawan.
2) Real Madrid (vs Wolfsburg, suku akhir kedua UEFA Champions League 2015/2016)
Taktikal: Meluaskan padang
Real Madrid ketika menentang Wolfburg bertindak meluaskan padang menjelang perlawanan suku akhir kedua di Santiago Bernabeu, bertujuan untuk memanfaatkan kelebihan yang dimiliki oleh Real Madrid di bahagian sayap – kawasan yang dihuni oleh Cristiano Ronaldo, Marcelo, Gareth Bale dan Dani Carvajal.
Keputusannya? Real Madrid menang 3-0 dan mara ke separuh akhir dengan agregat 3-2.
3) Malmo FF (vs Real Madrid, peringkat kumpulan UEFA Champions League 2015/2016)
Taktikal: Menyempitkan padang
Kalau tadi Real Madrid bertindak meluaskan padang, kini pasukan lawannya, Malmo FF bertindak mengurangkan keluasan padang sebanyak 1 meter sebagai persiapan menentang Real Madrid di depan penyokong sendiri.
Dengan menyempitkan padang, taktik ini boleh dikatakan berjaya apabila Malmo hanya tewas 0-2 (2 gol jaringan Ronaldo) di hadapan penyokong sendiri, berbanding tewas 8 gol di tempat Real Madrid.
4) Alloa Athletic FC (vs semua pasukan liga, Scottish Championship musim 2015/2016)
.jpg)
Taktikal: Menyempitkan padang
Alloa Athletic FC, sebuah kelab semi-pro liga divisyen ke-2 Scotland menyempitkan padang mereka, daripada keluasan 69 meter kepada 60 meter.
Sebelum menyempitkan padang, mereka kalah 8 kali dan seri hanya sekali di halaman sendiri. Selepas menyempitkan padang, mereka hanya kalah 3 kali, seri 5 kali dan menang sekali.
5) Rangers FC (vs Dynamo Kiev, pusingan pertama European Cup 1987/1988)
Taktikal: Menyempitkan padang
Selepas Rangers tewas kepada Dynamo Kiev, pengurus pasukan Rangers ketika itu mengenalpasti dua pemain sayap Dynamo, Vadym Yevtushenko dan Ivan Yaremchuk sebagai pemain paling berbahaya.
Untuk menyukarkan kerja dua pemain sayap Dynamo ini, Souness mengarahkan supaya padang dikecilkan.
Rangers menang 2-0 (2-1 secara agregat) dalam perlawanan malam itu dan mara sehingga ke peringkat suku akhir.
6) Stoke City (vs semua pasukan, Premier League dan UEFA Europa League 2011/2012)
Taktikal: Menyempitkan dan memendekkan padang
Stoke City ketika itu memang terkenal dengan taktik bola tinggi mereka. Oleh tujuan itu, Stoke bertindak mengecilkan keluasan dan panjang padang sehingga ke ukuran paling minimum.
Dengan padang yang pendek, pertahanan Stoke dapat menghantar bola tinggi kepada penyerang tinggi dengan mudah. Dengan padang yang sempit juga,
Rory Delap dapat membuat
long throw yang jauh dari garisan tepi padang.
7) West Ham (vs Stoke City, Premier League 2009/2010)
.jpg)
Taktikal: Mendekatkan papan iklan dengan kawasan padang
Jika taktikal Stoke mengecilkan padang dapat membantu
long throw Rory Delap, pengurus West Ham pada ketika itu mengarahkan agar papan iklan diletakkan berhampiran dengan kawasan padang.
Tujuannya adalah untuk memendekkan jarak larian Rory Delap yang perlu diambilnya sebelum melancarkan long throw yang berbahaya.
Haha menarik bukan?