Oleh Ina Mohd.
Menonton filem Lelaki Harapan Dunia (LHD), arahan Liew Seng Tat, anda tidak akan menyangka ia sebuah filem arahan dari seorang yang berbangsa Cina. Ini kerana, jalan cerita LHD berkisarkan pergolakkan yang berlaku dalam masyarakat Melayu. Penonton tidak akan bosan menonton kerana ada beberapa babak diselitkan sedikit komedi. Walaupun klasifikasi LHD komedi drama, tetapi ada maksud yang tersurat dan tersirat yang cuba disampaikan oleh pengarah. Tidak kurang juga cabaran yang mereka hadapi ketika pengambaran.
Seng Tat berkongsi cerita mengenai cabaran yang dihadapi olehnya ketika mengarah LHD. “Perkara yang sangat mencabar adalah menyatukan pelakon-pelakon ini dalam LHD. Ini kerana saya, pengarah baru dan mereka tidak mengenali saya. Tetapi saya berterima kasih kepada semua pelakon saya kerana bekerjasama begitu baik sekali. Contohnya Wan Hanafi Su, saya jumpa dia dan serahkan skrip LHD. Saya tidak menyangka keesokkan harinya dia menghubungi saya dan bersetuju untuk turut sama dalam LHD”.
Anda masih ingat tradisi Melayu yang mengangkat rumah? Dalam LHD tradisi ini diketengahkan supaya masyarakat masa kini ingat akan tradisi tersebut. “Saya bersekolah di sekolah kebangsaan. Jadi, sekeliling saya banyak masyarakat Melayu. Saya suka membuat kajian mengenai budaya Melayu itu sendiri, salah satunya ialah tradisi mengangkat rumah. Babak ini memang sangat mencabar kerana kami perlu shoot sekali sahaja kerana tidak mahu lari konti dan sebagainya. Saya guna dua kamera untuk mengambil shot tertentu semasa babak mengangkat rumah. Seramai lebih kurang 70 orang penduduk kampung yang berlakon dalam babak mengangkat rumah. Sebelum pengambaraan, kami memang ada buat latihan untuk mengangkat rumah kerana tidak mahu ada kesilapan. Rumah itu memang yang sebenar. Kami bina yang baru. Saya boleh buat rumah yang diangkat itu menggunakan CGI. Tetapi CGI tidak boleh duplicate semangat yang timbul daripada riak wajah mereka(pelakon)”, kata Seng Tat.
Filem yang banyak ditayangkan di beberapa festival ini, sebenarnya mempunyai keunikkan tersendiri. Bukan sahaja tradisi mengangkat rumah tetapi ia memaparkan bagaimana muafakat antara masyarakat itu harus dikekalkan tanpa ada hasad dengki. Dengan barisan pelakon yang terdiri daripada Wan Hanafi Su,Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Azhan Rani, Jalil Hamid dan lain-lain mampu mengajak penonton untuk menonton filem ini walaupun tiada heroin. Berikut synopsis mengenai filem Lelaki Harapan Dunia.
Filem berkisah tentang sebuah kampung yang terjadi kekacauan akibat kesalah fahaman penduduk kampung yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung untuk Pak Awang dihuni oleh “hantu” sedangkan terdapat seorang pendatang asing Afrika yang menghuni secara sembunyi-sembunyi. Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak percaya kepada tahyul, tetapi tiada siapa yang ingin mendengar. Benarkah "hantu" itu "Orang Minyak"? Semuanya akan terjawab pada 27 November 2014 ini.