Sumber: Utusan Online Oleh: Aimi Nordi
Namanya Elly Mazlein tiba-tiba naik selepas dia melahirkan anak pertamanya, namun semakin disebut selepas ramai terkejut berita penceraiannya tak lama selepas berita kelahiran anaknya. Memilih untuk berdiam diri, nampaknya itu bukan jalan yang baik selepas banyak tersebarnya fitnah mengenai dirinya curang.
Elly, 36 ingin mendedahkan apa yang berlaku di sebalik rumah tangganya.
“Semua orang tahu yang saya seorang perahsia tentang hal peribadi. Dari zaman bertunang sampailah semasa berpantang selepas melahirkan Putri Zara Sefhia, saya mengelakkan publisiti yang tidak mendatangkan manfaat kerana mahu menjaga aib diri dan bekas suami.
“Bagaimanapun semakin saya berdiam diri, semakin banyak cerita yang tidak betul sampai ke telinga saya. Lebih-lebih lagi selepas saya membuat kemunculan semula dalam industri hiburan.
“Baru-baru ini saya dapat tahu tersebar fitnah yang kononnya bekas suami menceraikan saya kerana dia ‘tangkap’ saya dengan lelaki lain sewaktu saya menjalani penggambaran untuk sebuah drama di Pulau Langkawi.
“Teringin juga saya nak tahu siapakah lelaki yang ditangkap bersama-sama saya itu? Sedangkan ketika itu, bekas suami datang membuat kejutan di hotel penginapan ketika saya sedang menjalani penggambaran selama sebulan di pulau berkenaan.
Bagaimanapun, Elly sendiri yang memilih untuk bercerai selepas dua kali membuat permohonan cerai di mahkamah syariah.
“Sebenarnya, saya sendiri yang menuntut perceraian dengan bekas suami dan pergi ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang sebanyak dua kali. Kali pertama pada 1 September 2015. Hakim ketika itu, Rosdi Hanapi menasihatkan saya untuk berfikir panjang tentang keputusan saya.
“Pun begitu, selepas berlaku pertengkaran tidak lama kemudian, saya sendiri yang menghubungi pihak mahkamah untuk menguruskan perceraian. Akhirnya pada 15 Oktober 2015, jatuhlah talak kepada saya dan idah saya berakhir pada selepas kelahiran Sefhia pada 9 Mac lalu.
“Sepanjang perceraian saya, bekas suami langsung tidak bertanya khabar sehinggalah Sefhia lahir. Saya yang sedang sarat mengandung memandu sendirian ke hospital pada hari pemeriksaan kandungan. Masa itu dia sibuk shooting, jadi kami jumpa di hospital saja.
“Hendak dijadikan cerita, pintu rahim saya sudah terbuka sebanyak dua sentimeter. Bekas suami meminta saya untuk pulang ke rumah dan dia kata akan menghantar saya ke hospital pada sebelah malam. Tapi petanda untuk bersalin semakin dirasai sejurus selepas saya sampai ke rumah.
“Saya dimasukkan ke bilik bersalin pada 1 tengah hari sebelum melahirkan anak pada 6.35 petang. Saya ditempatkan ke wad dalam pukul 8 malam. Kira-kira pukul 10 malam, bekas suami sudah sibuk mahu pulang. Sedangkan sebelum itu, dia sudah berjanji untuk menjaga saya hingga selepas habis berpantang.
Terkilan kerana bekas suami seperti mungkir janji. Elly menjaga anaknya sendirian, walaupun ketika anak diserang demam kuning.
“Iya. Saya merayu kepadanya untuk tidak meninggalkan saya (ketika itu) tetapi tidak dilayan. Lebih-lebih lagi selepas Sefhia terkena demam kuning. Dalam keadaan sedih dan bersendirian, jururawat hospital itu memberi idea kepada saya untuk menukarkan bilik saya agar berdekatan dengan bilik Sefhia mendapat rawatan.
“Terubat rasa sedih apabila dapat menjenguk dia 10 ke 15 minit sekali. Sebenarnya ada banyak cara kalau bekas suami nak ‘menghalalkan’ cara melayan saya yang ketika itu sedang berpantang. Saya tahu kami bukan lagi suami isteri.
Selepas ini Elly mohon jangan sebarkan cerita kurang enak tentang dirinya kerana Elly tak mahu ada masalah atau bergaduh dengan mana-mana pihak lagi.
“Saya mohon supaya lepas ini jangan lagi menyebut tentang saya. Sudah-sudahlah bercerita yang bukan-bukan tentang saya. Saya sudah bertenang dan reda dengan kehidupan sendiri. Setiap hari saya berdoa yang baik-baik buat bekas suami dan kehidupan baharunya.
“Saya tak mahu bertelingkah dengan perkara yang tidak hebat mana pun. Lebih bagus bercerita tentang perkara yang baik. Lagi banyak kita bercerita tentang keburukan orang, lagi banyak orang tahu sisi buruk kita.
“Saya tahu kekurangan bekas suami. Walaupun banyak tuduhan buruk dilemparkan, saya tidak akan ambil tindakan undang-undang. Tapi jangan keterlaluan sebab kalau keadaan memaksa saya tidak teragak-agak untuk pergi ke peringkat seterusnya. Bagaimana penerimaan keluarga tentang khabar angin Azmi ‘tangkap’ Elly dengan lelaki lain di Pulau Langkawi?
“Dia tiada lagi tempat lagi dalam keluarga kami. Bagaimanapun perkara membabitkan Sefhia, saya dan keluarga kekal profesional.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm