Oleh Ina Mohd.
Anda tahu apa itu autism? Mungkin ada yang tidak mengetahui dengan lebih mendalam tentang autism. Terdapat juga segelintir masyarakat yang sering memberi persepsi buruk terhadap individu serta keluarga yang berhadapan dengan masalah autism. Oleh itu, syarikat produksi Current Picutres Sdn. Bhd mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah filem yang mengisahkan autism yang berjudul Redha.
Redha mengfokuskan kepada penceritaan tentang ibu bapa yang membesarkan anak yang menghidap autism. Redha mengambil inspirasi dari kisah adik Wei Xiang Yong ini memaparkan tentang hidup pasangan suami isteri, Alina dan Razlan menjadi terumbang-ambing dalam menghadapi realiti perjuangan sebenar untuk membesarkan seorang anak Istimewa selepas mendapati bahawa anak mereka Danial menghidap autism.
Ketidak sanggupan Razlan untuk menerima kebenaran menyebabkan kedinginan dalam keluarga, tetapi ketabahan Alina dan naluri seorang ibu membantu mereka dalam melalui detik yang sukar untuk membesarkan Danial. Dibantu adik dan teman rapatnya, mereka telah menemui cara khusus untuk membantu Danial, sehinggalah satu kemalangan tragis menyebabkan keluarga ini terpaksa dibina semula.
Bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 14 April 2016, filem yang diarahkan oleh Tunku Mona Riza ini menampilkan barisan pelakon seperti Namron, June Lojong, Harith Haziq, Izzy Reef, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Ruminah Sidek dan Susan Lankester. Apa yang boleh dikatakan, Redha sebuah filem yang harus ditonton. Anda akan merasai bagaimana sifat dan sikap seorang bapa yang dingin kemudian dilentur dengan anaknya sendiri. Paling utama, sediakan tisu kerana filem ini mampu membuatkan anda menitiskan airmata.
Lakonan daripada semua barisan pelakon memang terbaik. Masing-masing membawa watak dengan cara yang berbeza. Penyampaian mereka sampai kepada mereka yang menonton. Persembahan dari Harith Haziq yang membawakan watak Danial ketika kecil dan Izzy Reef watak Danial remaja, patut diberi penghargaan. Keduanya bukanlah kanak-kanak autism tetapi mereka berjaya membawakan watak tersebut dengan baik sekali. Apa-apa pun, Redha akan membuka minda anda tentang apa itu autism dan cara menanganinya. Selamat menonton buat anda semua.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm