← Back to list
25 Tahun Nora
Jan 17, 2016
Oleh Ina Mohd. Kredit foto Fanoratik
Berakhir sudah tiga hari Showcase Anugerah Nora di Theather Lounge Café. Showcase yang bermula pada 15 Januari itu meninggalkan memori indah kepada Nora dan juga peminat-peminat yang hadir. Ada peminat-peminat Nora yang hadir lebih dari satu hari bagi memberi sokongan buat penyanyi kesayangan mereka. Tidak kurang juga yang datang dari Singapura semata-mata mahu menonton persembahan hebat dari Nora.
Pada ketiga-tiga hari, Nora menyampaikan lagu-lagu popular dari album pertama sehingga single terbaru berjudul Anugerah. Pada malam pertama lebih istimewa kerana komposer terkenal yang menaikkan nama Nora hadir memberi sokongan. Pada malam itu Nora menyampaikan lagu-lagu yang diciptakan oleh komposer ini. Siapa lagi kalau bukan Datuk Adnan Haji Abu Hassan. Bagi yang tidak tahu, Datuk Adnan adalah pencipta lagu Di Persimpangan Di Lema nyanyian Nora yang telah memperkenalkan Nora di dalam industri hiburan tanah air. Walaupun kurang sihat tetapi Datuk Adnan hadir memberi sokongan kepada Nora.
“Di Persimpangan Dilema adalah lagu yang perkenalkan saya dalam dunia hiburan. Saya berterima kasih kepada Datuk Adnan. Tanpa lagu tersebut mungkin tidak ada yang kenal saya. Walau bagaimana pun kita doakan supaya kesihatan Datuk Adnan beransur pulih. Saya juga berharap supaya kita tidak lupakan mereka yang banyak berjasa untuk industri. Jangan apabila mereka sudah tiada baru hendak kita beri sesuatu”, ujar Nora.
Bagi ketiga-tiga malam, Nora mempunyai penyanyi undangan. Apa yang menariknya, Nora tidak menggunakan penyanyi lain sebaliknya ahli keluarganya sendiri. Tiga daripada empat anak Nora turut membuat persembahan. Kesemua mereka memang berbakat! Seperti kata Nora, kalau bukan dia yang mengetengahkan bakat anak-anaknya itu, siapa lagi. Ternyata ahli keluarga Nora memang keluarga seni. Suami Nora yang juga komposer, Johan Nawawi semestinya dikenali dengan ciptaan lagu-lagu yang bagus.
Berada di dalam industri hiburan selama 25 tahun bukanlah suatu mudah buat Nora. Jatuh bangun semua telah dirasai oleh Nora. Tetapi tahukah anda Nora adalah salah seorang penyanyi wanita yang mempunyai vokal bagus dan versatile di Malaysia? Kelunakkan suaranya memang masih seperti dahulu. Dia sebenarnya tidak perlu risau dengan penyanyi baru kerana dia sendiri mempunyai satu tahap yang selesa. Penyanyi-penyanyi sebaris Nora sukar untuk kita temui seperti sekarang. Tetapi mereka sebenarnya mempunyai tempat tersendiri. Senang kata, masing-masing hebat dengan lontaran suara mereka.
Apa yang boleh dikatakan, menyaksikan persembahan Nora seperti tidak puas. Mahu lagi dan lagi. Mana tahu selepas ini Nora mengadakan persembahan bergerak pula. Ketiga-tiga malam,
full house! Tahniah dan syabas Nora dan team. Lagu-lagu yang disampaikan oleh Nora terdiri daripada lagu-lagunya sendiri serta penyanyi lain. Antaranya Katakanlah, Sandiwara, Di Persimpangan Dilema, Naluri, Hanyalah Satu, Menghitung Hari, Menyemai Cinta Bersamamu, Akhirnya Kini Pasti dan sebagainya.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm
← Previous
Yuna Beli Kereta Di L.A
Next →
Penyanyi Filem Box Office Kuch Kuch Hota Hai Meninggal Dunia