
Seorang remaja dari India selalu mengeluh kesakitan kerana merasakan bisa di dalam bahagian mulutnya. Dia sering berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan tetapi kebanyakan doktor tidak dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi pesakit ini.
Namun remaja yang bernama Ashik Garai, 17 tahun ini tidak pernah berhenti berharap untuk melawan penyakitnya. Setelah banyak kali doktor melakukan pemeriksaan, mereka terkejut kerana menemui sejumlah 232 batang gigi di dalam mulut remaja tersebut.
Dari sumber Witty Feed, Ashik menjelaskan sakit di bawah rahang mulutnya dirasai sejak 18 bulan yang lepas. Sebenarnya Ashik Garai sudah banyak kali ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi tiada jawapan yang dapat diberikan oleh doktor berkenaan dengan penyakitnya.
Sejak menghidap penyakit itu, wajahnya mulai bengkak sehingga membuatkan ayahnya membawa dia ke hospital di Mumbai. Setelah melakukan pemeriksaan, doktor amat terkejut dengan penemuan 232 batang gigi yang tumbuh di mulutnya hingga menyebabkan kesakitan.

Sekumpulan doktor terpaksa melakukan pembedahan pada mulutnya dan membuang semua gigi yang berlebihan. Pembedahan tersebut memerlukan waktu sehingga 7 jam lamanya.
Doktor gigi Sundanda Dhivare-Palwankar berkata, remaja lelaki berkenaan berdepan dengan masalah “complex odontoma”. Doktor yang melakukan pembedahan amat hairan kerana ini kes pertama yang dikendalikan sepanjang 30 tahun dalam kariernya.
“Kami membuat pembedahan Isnin lalu dan mengambil masa hampir tujuh jam. Mulanya, kami menyangka ia pembedahan mudah tetapi sebaik prosedur itu dilakukan, kami dapati banyak gigi yang kelihatan seperti mutiara di dalam tulang rahangnya,” katanya.
Sumber dari wittyfeed.com