Sumber: Mstar Oleh: Aimi Nordin
Bukan senang nak jaga anak tambahan pula anak kembar yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Pelakon Datin Eina Azman juga mengaku dia memang tak mampu untuk uruskan anak kembarnya, Karl Kareef dan Arianna Aubrey sendiri tanpa pembantu rumah.
"Saya tidak mahu berpura-pura kononnya saya boleh menjaga anak kembar saya tanpa bantuan kerana sebenarnya saya memang tidak mampu.
"Tugas itu terlalu berat tambahan pula mereka masih kecil dan saya perlukan pembantu untuk membantu saya menguruskan mereka.
"Bagaimanapun ia bukan bererti saya melepaskan tanggungjawab kepada pembantu sebaliknya banyak perkara yang saya lakukan sendiri kerana tidak mahu ketinggalan saat melihat mereka membesar di hadapan mata saya," katanya kepada mStar Online.
Eina berkahwin dengan ahli perniagaan Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden, 37 pada 31 Ogos 2014. Seperti ibu-ibu yang lain Eina juga cepat rindukan anak-anak jika keluar berdua dengan suaminya.
"Kalau keluar berdua dengan suami pun saya akan cepat-cepat pulang kerana rindukan anak dan begitu juga suami.
"Ada masanya memang penat tetapi anugerah diberikan sepasang cahaya mata kembar ini banyak mengajar saya menjadi insan lebih baik," katanya yang akan beraya di Kuala Lumpur dan akan bercuti bersama keluarga.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm