Oleh: Aimi Nordin Sumber: HMetro
Baru-baru ini viral di media sosial Facebook apabila pasangan mat saleh ni mengutip sampah yang ditinggalkan jiran tetangga untuk dibuang setiap pagi selepas balik joging. Pasangan suami isteri yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) tak menyangka perbuatan mereka menjadi viral.
Sejak berpindah ke Taman Bukit Dahlia sejak 2014, Michael Joseph, 63 dan isterinya Tammy Sue, 58 cuba untuk berkhidmat buat jiran tetangga.

"Biarpun kami adalah orang mendatang yang mempunyai perbezaan agama dan fahaman di kawasan perumahan ini, sudah menjadi prinsip hidup kami supaya sentiasa berbuat baik dengan orang lain.
"Ini hanya sumbangan kecil kami kepada jiran yang mana kami ingin membantu mereka supaya kawasan perumahan ini sentiasa bersih selain memudahkan tugas petugas yang memungut sampah di kawasan ini.
"Kami hanya mengutip sampah dan memasukkan ke dalam plastik sebelum dibuang ke tong sampah yang lebih besar, sama ada di tong sampah rumah kami atau di kawasan yang mempunyai longgokan sampah yang banyak," kata bekas wartawan di Texas, AS, itu.

Mereka hanya mengambil masa selama 45 minit sahaja setiap Isnin dan Khamis untuk mengutip sampah.
Ada jiran yang menghantar mesej kepada kami dan tunjuk bahawa gambar kami tersiar di laman sosial.
"Jiran dan orang sekeliling amat menghargai apa yang kami lakukan. Ada yang akan memberhentikan kenderaan dan mengucapkan terima kasih, malah ada juga yang menghulurkan makanan dan minuman buat kami.
"Bagi kami, ini bukan soal kebersihan semata-mata kerana di mana saja, malah di AS juga, sampah sarap itu memang akan wujud.
"Apa yang kami lakukan ini, bukan untuk memberi persepsi buruk sama ada menganggap kawasan ini kotor atau orang sekeliling yang tidak menjaga kebersihan, tetapi apa yang kami lakukan ini hanya untuk berkhidmat kepada jiran dan kawasan perumahan yang kami diami.


*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm