Sumber: Astro Awani Oleh: Aimi Nordin
Hujung minggu ini akan berlangsung sukan paling berprestij, Olimpik 2016 di Rio, Brazil. Semua atlet dari seluruh dunia pasti mengimpikan untuk beraksi di Olimpik dan membanggakan negara kelahiran mereka.
Namun, buat bekas atlet kayuh basikal Olimpik, Muhammad Ashiq hanya mampu merenung trofi yang pernah dimenanginya mewakili Pakistan dalam acara lumba basikal sedekad yang lalu. Dulunya beliau seorang yang disanjung dan dibanggakan namun sekarang mungkin orang tak sangka dulunya beliau merupakan seorang atlet kerana hanya membawa beca sahaja.
“Mungkin kebanyakan orang menyangka saya sudah mati.
“Saya teringat yang saya pernah berjabat tangan dengan bekas perdana menteri Pakistan, presiden, para ketua eksekutif. KIni mereka semua lupakan saya. Sukar untuk saya percaya,” keluhnya.
Beliau yang bertanding di Olimpik pada tahun 1960 dan 1964 pada mulanya merupakan seorang peninju sebelum bertukar menjadi seorang pelumba lbasikal kerana isterinya yang risaukan kecederaan jika menjadi seorang peninju.
“Saya rasa gembira dan sangat bertuah dapat mewakili Pakistan ke Olimpik,” ujarnya kepada AFP.
Selepas tidak lagi menjadi pelumba basikal, beliau menceburi bidang perhubungan awam namun atas kesihatan yang tak mengizinkan berhenti dan jadi pemandu teksi dan van. Sejak 6 tahun lalu hingga kini, beliau hanya memandu beca di Lahore dengan upah yang tak seberapa.
“Isteri saya pernah menangis. Dia khuatir tentang kesihatan saya. Dia mengingatkan saya supaya memilih untuk bahagia dan gembira serta jangan fikir tentang mereka yang telah melupakan saya. Dan saya mengikut pesannya,” imbas Muhammad.
Dua tahun lalu isterinya meninggal dunia dan empat orang anaknya tak tinggal bersamanya. Muhammad juga tak mahu membebankan anak-anaknya.
“Saya berdoa... agar saya segera dipertemukan dengan isteri tercinta di syurga. Mungkin itu lebih baik daripada kehidupan yang saya alami kini,” ujarnya.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm