Oleh Syazwan Aizad. Sumber Utusan Online
Baru-baru ini viral kisah seorang gadis berusia 18 tahun yang berkahwin dengan seorang lelaki berusia 66 tahun di laman sosial.
Namun, ada juga mulut-mulut yang seolah-olah mempersoalkan sebab dan tujuan perkahwinan mereka.
Menurut Nur Nasirah Mohd Nazri, 18, dia memilih Ismail Lombok, 66 tahun sebagai suaminya kerana perasaan cinta.
“Walau usia kami jauh berbeza namun saya kahwin dengan dia sebab saya sukakannya, bukan kerana duit atau terhutang budi."
Nur Nasirah berkata, perkenalan mereka bermula kira-kira dua tahun lalu apabila Ismail, seorang pesara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang juga pekebun sering minum di restoran ibunya, Salma Abdullah, 42, di Paka.
Ketika itu Nur Nasirah selalu berada di restoran untuk melakukan kerja-kerja dapur selain mengambil pesanan daripada pelanggan.
Kata Nur Nasirah, dia mula tertarik dengan perwatakan duda lapan anak itu yang sering bertanya khabar keadaannya dan keluarga.
Pada masa itu, dia tidak tahu bahawa Ismail turut menaruh hati padanya dan dia melayan lelaki itu seperti pelanggan lain yang berkunjung ke restoran milik ibunya.
Namun, sikap Ismail yang sanggup berterus terang kepada ibu bapanya dan sedia menunggu untuk mengahwininya, berjaya membuka pintu hati gadis itu.
Nur Nasirah ketika itu baru sahaja menamatkan persekolahan tingkatan lima.
Majlis akad nikah berlangsung di rumah pengantin lelaki di Jalan Santong, Paka kira-kira jam 10.30 malam, 18 Mac lalu namun gambar-gambar perkahwinan mereka mulai menjadi viral di media sosial dengan ulasan-ulasan yang mempersendakan pasangan itu.
Sementara itu, ibu Nur Nasirah, Salma yang juga rakan baik Ismail yang kini menjadi menantunya berkata, dia telah lama mengenali lelaki yang dikenali panggilan Pok Wil kerana mereka tinggal sekampung.
“Selepas anak saya tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia berkali-kali meluahkan hasratnya itu, namun saya tidak memberikan keputusan kerana perlu berbincang dengan Nur Nasirah dahulu."
“Akhirnya Nur Nasirah memberikan jawapan, barulah kami buat perbincangan lanjut lalu menetapkan tarikh perkahwinan mereka,” kata Salma yang merestui perkahwinan pasangan itu.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm