
Oleh Feyra Nasrom Sumber mstar, instagram @zukieeeee
Zukiee atau nama sebenar Zulkifli Muhammad antara selebriti media sosial terkenal kini setelah video-video kelakar yang dimuat naik mula viral sekaligus mengubah keseluruhan hidupnya. Kata Zukiee perubahan ini berlaku begitu drastik dan pendapatan yang diperoleh mampu menampung kesusahan keluarganya. Sejak video pendek yang dihasilkan mendapat sambutan daripada netizen, nama Zukiee kini makin dikenali dan rezeki yang datang tidak putus-putus.
Bukan sahaja mampu menanggung kesemua pembelanjaan keluarga, Zukiee juga sudah mampu membeli kereta mewah iaitu Mazda RX8 secara tunai. Tambah Zukiee, dahulu dia hanyalah seorang pekerja zoo dan pendapatan cuma RM800 untuk menyara 7 adik beradiknya yang lain.

Nasib Zukiee mula berubah setelah dia menyimpan hasrat untuk melakukan sesuatu di sosial media, segala idea untuk menghasilkan satu video lucu telah disimpan sejak tahun 2011 lagi, namun masih belum mampu melaksanakan ekoran tiada wang yang cukup untuk membeli telefon bimbit. Tahun lalu, Zukiee akhirnya nekad membeli telefon bernilai RM300 berserta sekali dengan video dan mula membuka akaun laman sosial dan memuat naik semua video-video yang telah berjaya dirakamkan. Hanya mengambil masa 3 tahun sahaja, Zukiee kini dikenali di media sosial bahkan sudah banyak menerima tawaran untuk berlakon drama.
“ Kerjaya saya di media sosial bukan di televisyen, jadi saya terpaksa tolak tawaran-tawaran daripada stesen televisyen yang mahu saya terlibat dalam drama dan program mereka.
"Saya tidak mahu jika terlalu kerap di televisyen membuatkan orang bosan dan tidak mahu menonton saya di media sosial pula”
Zukiee kini sudah memiliki syarikat pengiklanan dibawah naugannya sendiri iaitu Viral Media Sdn Bhd dengan gabungan beberapa selebriti media sosial yang lain lagi untuk mempromosi pelbagai jenis produk. Zukiee kini mempunyai 420k pengikut di Instagram dan 500k di Facebook.