Sumber: Sinar Harian Oleh: Aimi Nordin
Seorang kanak-kanak lelaki di Kuala Nerang hilang di dalam hutan hampir 5 jam selepas mendakwa mengikut seorang nenek ketika mahu pulang ke rumahnya di Kampung Perik, Jumaat lalu.
Selepas pelbagai usaha dijalankan akhirnya Mohd Amirul Azim Othman berjaya ditemui pada pukul 12 tengah malam oleh ahli keluarga dan penduduk kampung berhampiran tali air di kampung tersebut. Amirul ketika itu sedang bersama rakannya Hafiz Nasir, 11 yang baru sahaja selesai keluar memancing.
"Ketika itu, saya terserempak dengan seorang nenek yang mengatakan mahu pulang bersama.
"Saya ada beritahu nenek itu, saya akan mengikutnya dan tidak lama selepas itu, saya seperti tidak sedarkan diri dengan mengikutnya masuk ke dalam hutan.
“Apabila masuk dalam hutan, tiba-tiba nenek itu hilang. Saya mula rasa takut kerana ditinggalkan keseorangan," katanya.
Walaupun nampak orang kampung mencarinya tetapi mereka tak dengar suara Amirul.
"Saya cuba memanggil mereka, namun tiada siapa mendengarnya. Ketika itu, abang saya juga bersama mereka.
"Selepas itu, saya dengar lagi nama saya dipanggil dan ketika menghampiri mereka saya ternampak ada satu laluan. Ketika saya keluar dari laluan itu, barulah penduduk kampung dapat lihat saya," katanya.
Sementara itu, kakaknya, Anis, 17, berkata, keluarganya mengetahui adik bongsunya hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak 7.30 malam.
"Ketika ditemui, keadaan adik agak pucat dan letih," katanya.
Katanya, mereka sekeluarga bersyukur kerana adiknya ditemui selamat selepas hampir lima jam hilang.
Difahamkan beberapa tahun lalu kejadian serupa turut berlaku apabila seorang wanita hilang selama sehari dan dijumpai di kawasan pokok buluh berdekatan rumahnya.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm