Sumber: Mstar Oleh: Aimi Nordin
Pelakon Azrel Ismail yakin yang teman yang dianggap paling istimewa di hatinya sekarang ini tiada apa-apa hubungan istimewa dengan suami kepada Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu.
Diminta mengulas mengenai penyebaran video mesra antara Ruhainies dan Datuk Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, Azrel mengatakan Ruhainies ada memberitahunya ingin keluar bersama pembantu peribadinya pada hari Khamis. Bagaimanapun, Ruhainies tidak memaklumkan atas tujuan apa.
"Saya terkejut dengan berita dan video yang tersebar hari ini (Jumaat). Saya yakin Ruhainies tidak ada apa-apa dengan lelaki itu dan mereka bertemu atas urusan kerja kerana sebelum ini mereka ada projek bersama.
"Saya kenal Ruhainies orang macam mana dan jika dia ingin keluar selalunya dia akan ditemani ahli keluarga atau pembantu peribadinya sahaja," ujarnya kepada mStar Online.
"Dia wanita yang baik dan manja dan boleh dikatakan paling istimewa daripada wanita lain yang pernah saya jumpa. Cuma kalau ditanya tentang perancangan peringkat seterusnya, kami masih belum ada apa-apa lagi ikatan yang boleh disahkan," ujarnya.