Oleh : Aimi Nordin. Sumber : Malaysian Digest
Ramadan tahun lalu Nora Danish dan kekasihnya Nedim Nazri ke Jalan TAR dengan imej bertopeng. Walaupun bertopeng untuk menyembunyikan identiti sebenar, kelibat mereka masih disedari pengunjung dan peminat di sana.
Mempunyai alasan tersendiri mengapa Nora berbuat demikian, dia tetapi dihujani peminat dengan kritikan dan mempersoalkan mengapa mereka perlu menyembunyikan identiti mereka. Mengimbas kembali peristiwa tersebut, Nora menyatakan jika ada kesempatan dia ingin mengunjungi dan merasai lagi suasana Jalan TAR yang menjadi kunjungan orang ramai untuk mendapatkan persiapan raya.
Bagaimanapun, Nora berharap tiada pihak yang akan salah faham kerana dia bukan sengaja untuk mengelak daripada dikenali. "Macam tahun lalu, saya dan Nedim dikritik sebab pakai topeng. Pakai topeng bukanlah bermakna kami nak tunjuk diva sehingga ramai yang salah faham.
"Sebenarnya begini, walaupun saya seorang selebriti tetapi saya ini juga manusia biasa sama macam orang lain. Ada ketikanya, saya rasa nak 'free', keluar rumah tanpa solekan dengan hanya pakaian biasa dan simple.
"Namun, saya faham apabila ada peminat nak ambil gambar. Tidak sangka pula mereka dapat kenal saya walaupun bertopeng dan bertopi
"Saya mungkin akan pergi lagi cuma tidak tahu lagi kali ini nak datang ke situ dengan konsep imej apa pulak," katanya sambil tergelak kecil kerana berasa lucu tatkala teringatkan kembali hal itu.
Pada bulan Ramadan ini Nora hanya menumpukan perhatian kepada keluarga. Tidak mengambil sebarang tawaran berlakon, setiap hari dia akan berbuka kemudian terawih dan terus menguruskan kafe miliknya Kopi Xoxo di Bangsar.