Sumber: Utusan Oleh: Aimi Nordin
Dilema yang sering dihadapi mereka yang selesai mengikuti kursus perguruan adalah menunggu keputusan di mana mereka akan dihantar untuk berkhidmat. Begitu juga penyanyi dan bakal guru yang berdebar menunggu tempat di mana dia akan mulakan tugas.
Jarang sekali kita dengar seorang penyanyi menjadi seorang guru. Buat Tasha pula yang bakal menjadi guru Bahasa Inggeris tak menjadikan itu sebagai halangannya untuk terus menyanyi.
“Di mana-mana sahaja saya ditempatkan, baik kawasan bandar mahupun kawasan pedalaman, saya anggap itu semua sebagai rezeki.
“Sementara saya belum mempunyai komitmen utama, adalah lebih baik saya keluar daripada zon keselesaan untuk mencari pengalaman.
“Apatah lagi pengalaman adalah sesuatu yang sememangnya tidak boleh diukur dengan wang ringgit,” jelasnya.
Tasha juga sempat bertanya kepada kawan-kawannya sebagai persediaan jika dia dihantar ke kawasan pedalaman dan anggap ia sebagai peluang untuk dirinya.
“Mengajar adalah tanggungjawab saya sebagai guru. Di mana sekalipun, saya tetap perlu mengajar.
“Jika ditempatkan di pedalaman, kerjaya seni saya tetap diteruskan tetapi perlu ada perancangan awal jika saya sukar untuk menghadiri sebarang promosi atau sebagainya.
“Itu semua saya dan syarikat rakaman sudah fikirkan dan dengan teknologi sekarang yang semakin baik, saya rasa itu bukan satu masalah besar,” katanya.
Di mana pun tempat yang akan dihantar, tugas sebagai seorang pendidik itu merupakan kerjaya mulia dan yang penting ikhlas.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm