Oleh Ina Mohd.
Sebut sahaja nama Dayang Nurfaizah, pastinya anda akan terbayangkan kelunakan suaranya. Merdu sungguh. Dayang juga seorang penyanyi yang tidak ada kontroversi. Namanya bersih. Tetapi sesekali muncul semua pun terkedu kerana kemerduan suaranya. Terbaru Dayang menyanyi lagu tema untuk filem Langit Cinta yang juga berjudul Langit Cinta. Lagu ciptaan sepenuhnya Nurzaidi Abdul Rahman itu benar-benar memberi kelainan buat Dayang.
“Muzik video untuk lagu ini sudah pun selesai. Sebenarnya tidak sukar untuk Dayang buat muzik video ini kerana pengarah hanya mahu Dayang bermain emosi. Kalau pengarah pinta Dayang untuk berlakon dalam muzik video ini memang Dayang tidak boleh. Susah! Suruh Dayang menyanyi, tidak mengapa”, ujar Dayang ceria.
Sebelum ini Dayang pernah menyanyikan lagu tema untuk beberapa drama tetapi untuk filem, Langit Cinta adalah filem pertama Dayang menyanyikan lagu tema. “Dayang tidak kisah untuk membawakan apa jua lagu tema. Ini kira peluang untuk Dayang ketengahkan lagi nama Dayang. Setiap lagu yang diberi, Dayang akan buat bersungguh-sungguh, bukan sahaja untuk tema sesebuah filem mahupun drama. Seperti lagu Langit Cinta, Dayang memang perlu bermain dengan emosi. Dayang cuba rasai apa kesedihan, kerinduan dari lirik lagu itu”, katanya.
Muzik video Langit Cinta telah pun dilancarkan di Youtube Astro Shaw. Manakala filem yang dibintangi oleh Fazura, Keith Foo, Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Dato’Ahmad Daud dan ramai lagi, akan di tayangkan di pawagam bermula 7 Januari 2016.
*Layan ERA fm menerusi dengar.era.fm